Dari Petikan Sang Nabi (The Prophet)
PERENGGAN 12
Seorang ahli hukum menyusul bertanya; Dan bagaimana tentang undang-undang kita? Dijawabnya;
Kalian senang meletakkan perundangan, namun lebih senang lagi melakukan perlanggaran, Bagaikan kanak-kanak yang asyik bermain di tepi pantai,
yang penuh kesungguhan menyusun pasir jadi menara, kemudian menghancurkannya sendiri, sambil gelak tertawa ria.
selama kau sedang sibuk menyusun menara pasirmu, sang laut menghantarkan lebih banyak lagi pasir ke tepi, Dan pada ketika kau menghancurkan menara buatanmu, sang laut pun turut tertawa bersamamu.
Sesungguhnya,
samudera sentiasa ikut tertawa, bersama mereka yang tanpa dosa.
Tapi bagaimanakah mereka,yang menganggap kehidupan bukan sebagai samudera, dan melihat undang-undang buatannya sendiri, bukan ibarat menara pasir?
Merekalah yang memandang kehidupan, laksana sebungkal batu karang,
dan undang-undang menjadi pahatnya, untuk memberinya bentuk ukiran,
menurut selera manusia, sesuai hasrat kemahuan.
Apalah yang kukatakan tentang mereka, kecuali bahawa memang mereka berdiri di bawah sinar mentari, namun berpaling wajah, dan punggung mereka membelakangi?
Tapi kau, yang berjalan menghadapkan wajah ke arah mentari, bayangan apa di atas tanah, yang dapat menahanmu?
Kau yang mengembara di atas angin, kincir mana yang mampu memerintahkan arah perjalananmu, hukum mana yang mengikatmu, bila kau patahkan pikulanmu,
tanpa memukulnya pada pintu penjara orang lain?
Waktu
Dan seorang pakar astronomi berkata, “Guru, bagaimanakah perihal Waktu?”
Dan dia menjawab:
Kau ingin mengukur waktu yang tanpa ukuran dan tak terukur.
Engkau akan menyesuaikan tingkah lakumu dan bahkan mengarahkan perjalanan jiwamu menurut jam dan musim.
Suatu ketika kau ingin membuat anak sungai, di mana atas tebingnya kau akan duduk dan menyaksikan alirannya.
Namun keabadian di dalam dirimu adalah kesedaran akan kehidupan nan abadi,
Dan mengetahui bahawa semalam hanyalah kenangan utk hari ini dan esok adalah harapan dan impian utk hari ini.
Dan yang menyanyi dan merenung dari dalam jiwa, sentiasa menghuni ruang semesta yang menaburkan bintang di angkasa.
Siapa di antara kalian yang tidak merasa bahawa daya mencintainya tiada batasnya?
Dan siapa pula yang tidak merasa bahawa cinta sejati, walau tiada batas, terkandung di dalam inti dirinya, dan tiada bergerak dari fikiran cinta ke fikiran cinta, pun bukan dari tindakan cinta ke tindakan cinta yang lain?
Dan bukanlah sang waktu sebagaimana cinta, tiada terbahagi dan tiada kenal ruang?
Tapi jika di dalam fikiranmu baru mengukur waktu ke dalam musim, biarkanlah tiap musim merangkumi semua musim yang lain,
Dan biarkanlah hari ini memeluk masa silam dengan kenangan dan masa depan dengan kerinduan.
~ Kahlil Gibran ~
Tidak ada komentar:
Posting Komentar